Monday 27 November 2017

Eropah iktiraf keluarga Islam

Satu kajian terbaru mendakwa majoriti kelahiran bayi di Britain menjelang 2012 adalah anak luar nikah jika trend atau aliran semasa seperti masalah keruntuhan moral semakin meruncing tanpa dapat dibendung. 

Britain turut menjadi negara keempat memiliki kadar kelahiran bayi luar nikah tertinggi di Eropah selepas Sweden, Denmark dan Perancis.  

Kota London, bagaimanapun, mencatat bilangan kelahiran luar nikah yang kecil iaitu satu pertiga berikutan kehadiran banyak masyarakat Islam yang lebih berpegang kepada nilai murni agama yang mengharamkan amalan pasangan tinggal bersama tanpa ikatan rasmi.

Laporan itu secara langsung satu pengiktirafan terhadap cara hidup penganut agama Islam yang masih berpegang kepada tuntutan syariat. Dalam soal ini, keluarga Islam lebih dihormati yang menjadi contoh sistem keluarga yang utuh melalui ikatan perkahwinan yang sah.

Sistem kekeluargaan diamalkan penganut Islam menjadi model di kalangan penduduk yang masih ingin mempertahankan cara hidup bermoral. Mereka merasakan lebih aman berjiran dengan keluarga Islam yang boleh dijadikan contoh.

Di Barat sekarang ini mengalami masalah keruntuhan moral yang semakin serius akibat cara hidup bebas lelaki perempuan. Melakukan hubungan seks luar nikah tidak lagi dianggap memalukan dan tidak juga menjadi kesalahan jika dilakukan secara rela kedua-dua belah pihak.

Ia berlainan dengan remaja Islam yang lebih mementingkan cara hidup bermoral biarpun dipandang kolot oleh sesetengah pihak. Remaja perempuan Islam juga menggayakan pakaian menutup aurat yang mengelak menjadi mangsa jenayah seks.

Remaja Islam juga tidak mengunjungi pusat hiburan yang bergaul bebas lelaki dan perempuan.  Ini secara langsung mengelak terjebak dengan pengaruh arak, dadah dan seks bebas yang banyak terdapat di pusat hiburan. 

Jika tidak kerana wujud sentimen fobia terhadap Islam dalam hati sesetengah masyarakat di Barat, sudah pasti umat Islam akan disanjung dan lebih mudah ajaran Islam mendapat sambutan. Keadaan ini cuba diperbaiki dan bukti positif ialah semakin banyak penduduk di Eropah memeluk Islam.  

Menurut laporan itu lagi, hampir separuh institusi keluarga membabitkan pasangan lelaki dan wanita yang tidak berkahwin dan sehingga satu pertiga daripadanya adalah ibu atau bapa tunggal. 

Banyak pasangan di Barat mengikat tali perkahwinan hanya setelah mempunyai cahaya mata. Itupun tidak pasti anak dari zuriat lelaki mana memandangkan amalan seks bebas yang dilakukan.

Masyarakat di Barat tidak mementingkan nasab keturunan. Apa yang penting ialah apa yang dicatatkan dalam pengenalan diri mengikut peruntukan undang-undang.

No comments:

Post a Comment