Monday 27 November 2017

Segera kahwin elak zina

Ideologi Barat mengatakan hal berkaitan seks perlu ditentukan sendiri oleh individu tanpa ada sekatan dan kongkongan adat atau agama. Berdasarkan ideologi itu seseorang bebas melakukan hubungan seks dengan sesiapa disukai. Amalan itu menyerupai cara hidup haiwan dan bertentangan dengan fitrah manusia yang dianugerahkan Allah SWT dengan akan fikiran.

Sesungguhnya seks bebas atau zina mendatangkan pelbagai keburukan kepada pelakunya dan masyarakat. Kes pembuangan bayi dan pengguguran janin adalah bukti jelas akibat perbuatan zina. Bayi yang baru dilahirkan dibunuh atau dibuang disebabkan ingin menutup aib perbutan zina yang telah dilakukan.

Allah SWT telah mengingatkan agar perbuatan zina dijauhi. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina kerana sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.” (Surah al-Israk, ayat 32).

Perlakukan zina tidak berlaku jika batas-batas pergaulan lelaki dan perempuan dijaga sepertimana ditetapkan syariat. Islam membataskan dan menetapkan adab hubungan di antara lelaki dan perempuan untuk menjaga maruah serta mengelak perkara buruk terjadi. 

Pergaulan bebas lelaki dan perempuan ditegah kerana ia menjadi punca kepada perbuatan tidak bermoral. Langkah awal penjagaan diri adalah dengan menahan diri daripada melihat perkara yang boleh mendorong melakukan perbuatan tidak bermoral. 

Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 30 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka.”

Sekiranya melihat perkara haram sudah ditegah, tentulah lebih-lebih lagi dilarang perbuatan bersentuh-sentuhan melibatkan lelaki dan perempuan bukan muhrim. Perlakuan remaja yang tidak segan silu bercumbu dan berpelukan di hadapan orang ramai mencerminkan masalah keruntuhan moral yang parah. Perbuatan itu mendorong mereka terlajak ke arah melakukan hubungan seks.

Sesungguhnya hubungan seks hanya halal bagi pasangan yang telah sah nikah. Malah, dalam konteks hubungan suami isteri, perbuatan itu adalah satu ibadah jika dilakukan bagi memenuhi tanggungjawab masing-masing.

Institusi perkahwinan membentuk hubungan yang bersifat lebih kukuh, ikhlas dan mewujudkan perasaan saling memerlukan di antara lelaki dan perempuan. Melalui ikatan perkahwinan, semua pasangan menyimpan harapan agar bahagia sehingga ke akhir hayat. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan antara kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untukmu isteri-isteri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikannya antara kamu rasa kasih sayang.” (Surah ar-Rum ayat 21).

Sebaliknya pasangan melakukan zina bertujuan semata-mata untuk kepuasan hawa nafsu. Hubungan tersebut diputuskan apabila mereka saling tidak memerlukan untuk terus melakukan hubungan seks. Hubungan mudah diputuskan disebabkan tidak ada tanggungjawab atau ikatan rasmi.    
 
Lelaki dan perempuan yang cenderung melakukan seks hendaklah segera berkahwin untuk mengelak terlibat zina. Seks bagi pasangan suami isteri adalah perkara yang dituntut untuk memenuhi kehendak batin dan melahirkan zuriat. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Wahai pemuda-pemuda, barangsiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka kahwinlah, kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan menjaga kehormatan. Dan barangsiapa belum mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu mengurangi nafsu syahwat.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam masyarakat kita, perempuan mengandung tanpa suami merupakan aib besar. Sebab itu perempuan berzina berusaha agar tidak mengandung. Penggunaan kondom dan mengambil pil pencegah kehamilan dilakukan secara meluas. Namun tidak semua usaha menutup perbuatan jahat berhasil. Maka, untuk menutup aib dilakukan pengguguran janim. Perbuatan itu bukan sekadar dosa, tetapi mempertaruhkan nyawa sendiri. 

Perbuatan menggugur janim sama seperti membunuh anak. Masyarakat Arab Jahilliah  membunuh anak perempuan kerana sebab tertentu. Sebaliknya penzina membunuh anak yang belum pasti lelaki dan perempuan. Jadi, mereka lebih jahil daripada orang Arab Jahilliah.

Sekiranya usaha penguguran tidak berjaya dan lahirlah anak zina, jalan mudah menutup perbuatan buruk yang telah dilakukan ialah dengan membuang bayi itu. Bayi tidak berdosa dibuang sama ada ketika masih hidup dan kemudian meninggal disebabkan tidak mendapat rawatan sewajarnya, atau sengaja dibunuh dan dibuang seperti bangkai binatang. 

Ternyata perbuatan zina memberi kesan amat buruk kepada pelaku dan masyarakat. Justeru, usaha mencegah perbuatan zina perlu diberi perhatian. Perasaan benci dan jijik perbuatan zina perlu ditanam dalam setiap muslim untuk mencegah mereka turut terlibat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang rasa gembira dengan amalan baik dan rasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri mukmin sejati.” (Hadis riwayat Tirmizi)

No comments:

Post a Comment