Tuesday 31 May 2016

Guru jadi contoh

Antara kaedah berkesan mendidik ialah melalui contoh. Pelajar suka meniru atau mengikuti apa yang dilakukan oleh orang lain, lebih-lebih lagi guru yang dianggap insan terbaik untuk dijadikan contoh dan ikutan. 

Justeru itu, guru bukan saja perlu mengucapkan kata-kata untuk mendidik pelajar, tetapi juga memberi contoh secara perbuatan untuk diikuti. 

Peri penting guru melakukan perbuatan yang baik untuk dicontohi dan menjauhkan perbuatan buruk agar tidak mempengaruhi pelajar mengikutinya, maka wujudlah peribahasa guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari. 

Peribahasa ini menjelaskan jika guru melakukan sesuatu perkara buruk, pastinya anak murid akan melakukan yang lebih buruk lagi. Ini kerana jika guru yang dianggap terpelajar dan berperibadi mulia menunjukkan contoh yang tidak baik, maka sudah pasti murid-murid yang masih jahil tentang kehidupan akan melakukan perkara lebih buruk.

Justeru, guru perlu sentiasa menjaga tingkahlaku dan pekerti yang baik untuk dicontohi oleh pelajar.  Jangan sekali-kali melakukan perbuatan buruk yang boleh menjejaskan penerimaan pelajar mengenai amalan baik yang ingin dicontohi dari guru.

Sebagai contohnya, guru sentiasa menekankan kepada aspek disiplin yang melarang pelajar merokok. Malang sekali, di kalangan guru sendiri ada perokok tegar. Dalam hal ini, guru berkenaan perlu sedaya upaya menyembunyikan perbuatan merokok daripada diperhati atau dilihat oleh pelajar.

Sesungguhnya, contoh dan tauladan yang diambil atau dilakukan oleh guru adalah sebahagian daripada dakwah. Dalam banyak hal, dakwah secara contoh ini lebih berkesan kerana ia memberikan contoh atau bukti secara langsung mengenai sesuatu perkara.

Dakwah bukan saja menyeru. Dakwah juga ialah menghalang seseorang daripada melakukan perkara yang ditegah. Dalam hal ini, guru mempunyai peranan dan kuasa untuk mencegah murid daripada melakukan perkara yang tidak baik.

Perkara ini termaktub dalam peraturan disiplin sekolah yang mana guru diberi tugas untuk menghalang pelajar daripada melakukan perbuatan yang tidak baik. Guru juga boleh mendenda pelajar yang melakukan perbuatan yang disenaraikan sebagai kesalahan disiplin dalam kod disiplin pelajar. 

Namun, guru perlu melakukan penguatkuasaan disiplin dengn cara berhemah. Had dan batasan perlu dijaga agar tidak melanggar apa yang telah ditetapkan. Ini kerana terdapat kes guru yang melakukan tugas pencegahan secara tidak berhemah hingga menjadi isu ketidakpuas hati pelajar, ibu bapa dan masyarakat. 

Dalam hal ini, guru perlu mengawal emosi dan bertindak sekadar untuk pengajaran kepada pelajar. Tindakan keterlaluan lebih banyak mendatangkan mudarat sehingga menutup niat baik sebenarnya.  

No comments:

Post a Comment